Sebagai gantian kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007. Tan Sri Muhyiddin
menjelaskan semasa pembentangan pelan PPP bahawa ia dirangka menerusi
jelajah dialog di seluruh negara dimana 7,039 syor diterima dan 12,000
peserta ambil bahagian. Selain itu sebanyak 156 memorendum diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan.
Tan Sri Muhyiddin
menyifatkan PPP adalah satu referendum bersejarah yang melambangkan
cita-cita dan harapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
Menurut beliau pelan itu sasarkan enam aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Pelan ini berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa
bahawa kajian semula sistem pendidikan ini telah dilakukan dengan amat
teliti dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.
Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian
akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun
2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada
untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal.
Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan
pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah
membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah
menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan
menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun.
Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk
pemikiran aras tinggi.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian
akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan
semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT)
dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan
akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan
kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa
Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia
yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis
kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di
sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga
akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina,
India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang
lain.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi
memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu
identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan
Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017.
Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula
untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play),
simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid
bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai
teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji
membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila
nilai-nilai sejagat diajar.
4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian
akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan
mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang
menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam
sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru
berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula
daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu
kurang daripada 25 tahun.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian
akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar
berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan
penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan
menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar
bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian
akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan
Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah
(Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah.
Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus
kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan
dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara
perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian
akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya
melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang
dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat,
semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang
akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara
interaktif.
8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur
organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak
bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan
terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.
9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta:
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) untuk membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian.
Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah
menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan
kerajaan sebagai penganjur.
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian
akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan
murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah
setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus
perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal
seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua
pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus
berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh
Kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif
pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.
Kesimpulan:
Sekiranya
semua 11 anjakan dalam pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan
berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang, Malaysia akan menyaksikan
satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada sistem
yang berfokuskan akses, kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti.
Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu perlaksanaan pelan ini.
No comments:
Post a Comment